Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengagihkan e-baucar pembelian buku bernilai RM100 secara berfasa mulai esok hingga 31 Dis depan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi fasa pertama, KPT akan menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Menurut KPT, kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT (Graduate Reference Hub for Employment and Training) di https://great.mohe.gov.my bermula esok pada 10 pagi.

Penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara dalam talian di platform BookCapital di https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar RM100 bagi sekali transaksi.

Inisiatif itu bakal memberikan manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar institusi pendidikan tinggi  (IPT) warganegara Malaysia.

“Pemberian baucar ini adalah suatu langkah yang tepat dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku, sekali gus dapat membugar budaya membaca terutamanya dalam kalangan pelajar IPT,” menurut kenyataan itu.

Justeru KPT berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca malah bakal merancakkan industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan.

Menurut kementerian itu baki baucar buku bakal disalurkan pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

Mengenai platform BookCapital, KPT memaklumkan pemilihan platform itu adalah di bawah kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga merupakan penganjur bersama PBAKL 2024 bertujuan memudahkan pengguna sepanjang berlangsungnya pesta buku berkenaan.

“Penggunaan platform lain akan digunakan pada fasa berikutnya,” menurut KPT. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast