fb Khaled Nordin

SINGAPURA – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyampaikan perspektif Malaysia mengenai perkembangan dalam kerjasama keselamatan dua hala dan pelbagai hala di rantau Asia-Pasifik di Dialog Shangri-La ke-21, pada Ahad.

Beliau yang dijadual tampil sebagai ahli panel sesi plenari ketujuh bertajuk “Re-Imagining Solutions for Regional Stability” juga akan mengulas bagaimana bentuk kerjasama baharu ini berkemungkinan mempengaruhi landskap keselamatan serantau sedia ada.

Turut tersenarai sebagai panel dalam sesi berkenaan ialah Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, yang baharu disahkan penyertaannya oleh penganjur pada Sabtu.

Mohamed Khaled berada di Singapura sejak Khamis bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Dialog Shangri-La.

Dialog Shangri-La dihoskan oleh Singapura sejak 2002, disertai Menteri-Menteri Pertahanan, pegawai-pegawai tertinggi tentera dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dari pelbagai negara.

Edisi tahun ini yang berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun menyaksikan kehadiran dari 45 negara, dengan 49 perwakilan peringkat menteri dan lebih 40 pegawai kanan pertahanan termasuk Ketua Angkatan Pertahanan serta ahli akademik terkemuka.

Sementara itu, Mohamed Khaled pada Sabtu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura Teo Chee Hean dan seterusnya melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Lawrence Wong.

Dalam pertemuan dengan Teo, Mohamed Khaled antara lain menegaskan komitmen Malaysia dalam menjayakan FPDA yang dianggotai oleh kedua-dua negara serta isu-isu dan perkembangan geopolitik serantau dan global.

Ketika bertemu Wong di Istana, Menteri Pertahanan telah menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu.

Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Republik Maldives, Mohamed Ghassan Maumoon dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd James Austin III.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast