Bahan api yang disedut keluar itu kemudiannya dipindahkan ke dalam badan lori tangki berkenaan dan aktiviti terbabit berjaya dihentikan sebaik wujudnya aktiviti mencurigakan. Foto Ihsan KPDN Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah stesen minyak di Shah Alam dipercayai menjadi lokasi penyelewengan diesel berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada Jumaat lalu.

Serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam yang diterima oleh KPDN Kuala Kubu Bharu dengan kerjasama Wildlife Crime Bureau atau Perisikan Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 itu dijalankan kira-kira jam 5 petang di stesen minyak yang sedang beroperasi.

“Pasukan PDRM yang tiba mendapati, terdapat sebuah lori tangki mencurigakan sedang menyedut keluar diesel secara terus daripada tangki bahan api yang berada di bawah tanah stesen minyak terbabit.

“Bahan api yang disedut keluar itu kemudiannya dipindahkan ke dalam badan lori tangki berkenaan dan aktiviti terbabit berjaya dihentikan sebaik wujudnya aktiviti mencurigakan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, dalam serbuan itu polis berjaya menahan empat lelaki termasuk pemilik stesen minyak, pemandu lori tangki dan kelindannya warga tempatan serta seorang pekerja stesen minyak warga asing.

Kesemua suspek berusia lingkungan 30 tahun hingga 50 tahun itu telah diserahkan kepada KPND Kuala Kubu Bharu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kita juga telah menyita sebuah motor lori tangki bersama badan lori berisi diesel, peralatan lain seperti motor pump dan hos penyambung yang digunakan di dalam aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah .

“Selain itu, turut disita tangki bahan api yang berada di bawah tanah stesen minyak dan pump island yang terlibat dengan pembekalan daripada tangki bahan api di bawah tanah.

“Anggaran keseluruhan diesel di dalam kes serahan ini (melibatkan kenderaan dan tangki bahan api di dalam tanah stesen minyak) lebih 50,000 liter dengan nilai subsidi mencecah lebih RM100,000.00. Manakala anggaran keseluruhan nilai sitaan mencecah lebih RM200,000.00 ” jelasnya.

Katanya, tindakan arahan mengisytiharkan stok dan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada pemandu lori serta pemilik stesen minyak telah dikeluarkan pada hari sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan (diesel) dengan niat melakukan kesalahan dan dibaca bersama Per 3(1) PPKB 1974.

Pihaknya juga menjalankan siasatan ke atas stesen minyak itu sekiranya ada terlibat atau bersubahat secara langsung di dalam aktiviti penyelewengan dibawah Peraturan 12A iaitu melanggar Arahan Pengawal Bekalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast