Oleh: Dr Siti Suriani Othman dan Nur Mimi Syazleen Mohd Dzuhar
MODENISASI pada hari ini menawarkan kepelbagaian peluang yang serentak dengan risiko kealpaan. Banyak manfaat kita peroleh daripada teknologi, banyak juga kebobrokan yang perlu kita tangani. Hari ini, kita tidak nafikan gajet amat membantu proses pembelajaran anak-anak, namun jika tidak dikawal penggunaannya ke arah kemanfaatan, maka bahaya akan mendatang.
Tidak takutkah kita dengan dengan kes-kes ketagihan gajet ekstrem yang pernah ditampilkan dalam media? Kisah tragik seorang remaja di Taiwan berumur 18 tahun yang mati selepas bermain permainan dalam talian selama 40 jam tanpa henti dan tanpa makan serta tidak tidur, menyebabkan dia diserang sakit jantung dan mati. Satu lagi kes tragik ialah pasangan di Korea Selatan yang menyebabkan kematian anak mereka yang berusia tiga bulan kerana sibuk mencipta “bayi virtual”nya dalam platform permainan dalam talian yang popular, mengabaikan anak sebenarnya di dunia nyata.
Kes-kes ini mencetuskan perdebatan hangat di peringkat antarabangsa. Di Malaysia, kita juga harus mula berhati hati kerana kajian oleh sebuah badan antarabangsa serta syarikat pembekal proksi, Proxyrack pada tahun lepas mendedahkan bahawa rakyat Malaysia menduduki tempat kedua dalam aspek ketagihan peranti dengan skor 8.7 di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Negara lain yang menduduki tangga teratas termasuklah Arab Saudi dengan skor 8.41, Singapura (7.96) dan Vietnam (7.62).
Kajian yang sama mendapati purata tempoh penggunaan media sosial rakyat Malaysia mencapai tujuh hingga lapan jam sehari menjadikan kita antara negara tertinggi dalam skor penggunaan tempoh masa skrin peranti. Daripada statistik ini, kita dapat melihat kemungkinan banyak risiko berlaku kesan daripada penggunaan gajet yang berlebihan tidak kira dalam kalangan kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Kelompok yang gian terhadap gajet biasanya menggunakan gajet dalam beberapa situasi ini. Situasi pertama, kecenderungan melayari laman senawang dan media sosial baharu dalam tempoh masa yang lama.
Media sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram, Tiktok dan Twitter menjadi pilihan para pengguna. Ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja baik kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa. Lebih menjadi barah ialah golongan remaja yang mula berjinak jinak melayari ruang seks dan pornografi siber. Isu sebegini bangkit menyumbang perkara luar tabie di luar jangkaan manusia. Kadar kelahiran anak tidak sah taraf, sumbang mahram, penyakit kelamin malah sehingga membunuh adalah perkara yang boleh berlaku kesan ketagihan gajet.
Lebih menyayat hati apabila ada yang membunuh kerana cinta, yang teracun kerana media sosial. Selain itu, ketagihan judi dalam talian juga semakin berleluasa dalam kalangan remaja dan dewasa kerana mudahnya mereka mencapai akses pelbagai ‘peluang’ judi dalam talian. Dari segi kewangan, bukan sahaja judi dalam talian boleh menggugat kestabilan ekonomi seseorang individu, pembelian dalam talian juga harus ditangani dengan cermat. Jangan membeli sehingga berhutang berlebihan kerana mudahnya membeli hanya dengan satu petikan di hujung jari.
Di Malaysia, kajian menunjukkan bahawa berlaku ketagihan membeli belah secara dalam talian dalam kalangan remaja perempuan berbanding remaja lelaki. Tidak dinafikan membeli belah boleh menjadi salah satu terapi minda tetapi tidak lagi jika dilakukan sehingga menyebabkan masalah mental kerana hutang yang bertimbun. Kajian oleh Dr Elias Aboujaoude, seorang profesor dalam bidang psikiatri di Universiti Stanford yang tersiar dalam majalah Time mendapati bahawa ketagihan membeli belah dalam talian didorong oleh rasa untuk membeli dengan cepat dan berjaya mendapatkan sesuatu barang, dan itulah perasaan yang memuaskan hati pembeli. Kadang kala, bukan mendapatkan sesuatu barang itu yang penting, tetapi keupayaan membeli itu yang menjadi keutamaan dan rasa puas hati itu terbit daripada perasaan “kejayaan” membeli.
Tidak dinafikan penggunaan gajet hari ini lebih kepada keperluan daripada kehendak. Namun, kita perlu bijaksana memilih kaedah penggunaan gajet supaya tidak memudaratkan. Mungkin cakap lebih mudah daripada membuatnya terutama dari aspek mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak, tetapi pemantauan penggunaan gajet perlu dilakukan oleh ibu ayah secara sistematik dan berterusan. Ibu ayah sendiri juga perlu mengawal diri agar tidak terjebak dengan risiko-risiko ketagihan gajet termasuklah ketagihan permainan dalam talian, pembelian dalam talian dan pelbagai risiko lain yang boleh memberi kesan buruk kepada institusi kekeluargaan. Jangan biar ketagihan gajet merampas keharmonian rumah tangga dan nilai kekeluargaan kita yang sebelum ini bahagia dan ceria dengan pelbagai aktiviti fizikal antara ahli keluarga.
Kedua-dua penulis dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia