Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media berhubung Kadar Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) Baharu Kenderaan Elektrik (EV) di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 04 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) baharu bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik.

Peningkatan kuasa motor elektrik, jelas Anthony, akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan.

“Kadar fi ditetapkan berdasarkan kepada kuasa motor elektrik.

“Peningkatan secara progresif mengikut setiap peningkatan kuasa motor elektrik akan mengelakkan peningkatan kadar fi LKM secara mendadak dari satu kumpulan kepada kumpulan seterusnya.

“Bagi menggalakkan transisi kepada kenderaan tanpa pelepasan karbon, kadar fi bagi kebanyakan kenderaan ZEVs adalah lebih rendah berbanding kadar fi LKM bagi kenderaan internal combustion engine (ICE) dalam lingkungan jenis badan kenderaan yang sama,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata kadar fi LKM baharu yang ditetapkan hanya terpakai kepada ZEV dalam kategori Pure Battery Electric Vehicle (PBEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) sahaja.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kadar fi LKM baharu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kadar fi sedia ada.

“Semua kadar fi yang ditetapkan di atas akan disemakkan sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEV serta impak kepada hasil kerajaan,” katanya.

Kadar fi LKM ZEV ditetapkan mengikut blok berdasarkan pada julat kuasa motor 100,000 watt.

Sebagai contoh, Anthony berkata, blok 1 adalah bagi ZEV yang mempunyai kuasa motor elektrik dari 1 watt hingga100,000 watt, blok 2 bagi ZEV dengan kuasa motor elekrik antara 100,001 watt kepada 210,000 watt dan seterusnya.

“Bagi setiap blok, akan ditetapkan had minima dan maksima kadar fi LKM. Sebagai contoh, kadar fi minima LKM bagi blok 1 adalah RM20 manakala kadar maksima pula adalah RM70.

“Bagi blok 3, kadar fi minima adalah RM305 dan kadar fi maksima adalah RM575,” katanya.

Sebagai penerangan, dalam setiap blok kadar kenaikan fi LKM akan ditetapkan secara progressif mengikut kenaikkan setiap blok 9,999 watt kuasa motor.

Pada setiap kenaikan blok 9,999 watt, akan dikenakan tambahan bayaran kadar fi LKM mengikut kadar kenaikan yang ditetapkan di dalam blok berkenaan.

“Sebagai contoh, dalam blok 2, kadar fi LKM (min) pada kuasa motor elektrik 100,001 watt adalah RM80. Dengan kenaikan 9,999 watt, kuasa motor elektrik seterusnya adalah 110,000 watt.

“Kadar fi LKM bagi ZEV kuasa motor 110,000 watt adalah ditetapkan seperti berikut Kadar fi LKM kuasa motor 100,001 watt: RM80; Kadar kenaikan per blok 9,999 watt bagi blok 2: RM20; maka Kadar fi LKM : RM80 + RM20 = RM100,” jelas Anthony lagi.

Sebagai contoh bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range yang berkapasiti 130kW akan hanya dikenakan fi RM120 berbanding fi LKM sedia ada bernilai RM624.

Manakala bagi Tesla Model Y yang berkapasiti 220kW adalah RM305 sahaja berbanding fi LKM sedia ada bernilai RM2,583. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast