Tiga anggota polis yang berjaya menumpaskan suspek dalam serangan di Balai Ulu Tiram Johor Mei lalu menerima penghargaan dari Razarudin di BUkit Aman hari ini. Ihsan Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Keberanian oleh tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang bergadai nyawa demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dalam serangan tembak yang berlaku di balai terbabit pada 17 Mei lalu mendapat pengiktirafan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiga anggota berkenaan, Koperal Mohd Hasif Roslan, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dan Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dijemput ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menerima penghargaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah menyampaikan surat penghargaan dan plak kepada ketiga-tiga anggota itu dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pejabatnya di Bukit Aman, hari ini.

Majlis ringkas tapi penuh bermakna itu turut dihadiri Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Balai Ulu Tiram, Inspektor Mohd Hisyam Ezahar.

Tiga anggota pamer keberanian semasa insiden Balai Ulu Tiram Johor Mei lalu menerima penghargaan dari Razarudin di BUkit Aman hari ini.Ihsan Foto PDRM

Razarudin berkata, sifat keberanian yang dipamerkan oleh tiga anggota berkenaan dalam menumpaskan suspek serangan wajar dicontohi seluruh warga pasukan yang lain dalam menjalankan tugas hakiki sebagai pegawai dan anggota polis di lapangan.

“Sijil penghargaan ini boleh sahaja saya beri di padang kawad seperti penghargaan lain sebelum ini, tapi saya mahu mereka datang dan terima sendiri di pejabat saya.

“Saya mahu mereka ini jadi contoh baik kepada semua (warga polis),” katanya sambil menambah bahawa setiap warga bertugas dalam PDRM adalah cermin kepada pasukan keselamatan tersebut.

Dalam insiden yang berlaku jam 2.15 pagi pada 17 Mei lalu, seorang lelaki bersenjatakan parang menyerang Balai Polis Ulu Tiram yang berada di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor dengan merampas pistol salah seorang anggota dan menembak sehingga mengorbankan dua anggota polis.

Dua anggota polis yang terkoban ialah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast