SELAYANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesan kebocoran gas ammonia di kilang NSK Sg Tua, Jalan Sg Tua, Bandar Baru Selayang setelah menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 jam 10.25 pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebocoran gas ammonia berlaku di bahagian stor kilang tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kebocoran pada salah satu dari empat silinder yang menyimpan gas ammonia di bahagian stor berkenaan.
“Pihak jabatan telah membuat pengungsian bangunan dan melakukan tempat untuk nyahcemar [DECON] di tempat operasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seramai sembilan pegawai bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Selayang telah hadir ke operasi tersebut.
“Manakala pasukan HAZMAT daripada BBP Shah Alam telah membuat kerja-kerja intervensi untuk menutup valve
silinder ammonia yang bocor,” katanya. – MalaysiaGazette