KUALA LUMPUR – Keluarga kepada seorang murid Tahun Lima bersekolah di Ampang yang jatuh sakit selepas didenda di bawah matahari lebih tiga jam menuntut pertukaran pegawai penyiasat (IO) polis.
Pengerusi Malaysia Indian Action Force (MIAForce), Dayalan Sreebalan yang menjadi jurucakap keluarga kanak-kanak itu berkata, mereka mahu seorang IO berstatus inspektor bagi kes itu.
Menurutnya, siasatan kini menjurus kepada membuktikan mangsa sememangnya berstatus orang kelainan upaya (OKU) sebelum kejadian.
Tegasnya lagi, seharusnya siasatan polis terarah kepada pelanggaran Surat Pekeliling Ikhtisas bilangan 7/1995 iaitu Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar Sekolah.
“Pada 30 Mei lalu, ibu bapa mangsa telah menerima panggilan daripada pegawai penyiasat untuk memberikan keterangan dan kami tidak jelas sekiranya siasatan sudah lengkap, kenapa masih memanggil ibu bapa mangsa.
“Saya juga difahamkan kenyataan yang diberikan bukan berasaskan laporan pertama pada 30 April lalu sebaliknya siasatan terarah kepada OKU iaitu mengetahui siapa yang memberitahu anak mereka OKU.
“Mereka yang hadir bersama peguam untuk memberi keterangan dan mengejutkan adalah pegawai terbabit sedang mengumpulkan data mangsa dari darjah satu hingga lima (membuktikan) mungkin mangsa OKU sejak kecil.
“Kita lihat siasatan yang dijalankan ini bukan selepas kejadian tapi sebelum kejadian dan ia adalah tidak berasas kerana ini melibatkan kes jenayah iaitu penderaan hingga mangsa alami strok haba.
“Kami ada bukti dan rakaman malah doktor yang rawat mangsa dan mendakwa mangsa OKU juga sudah ditukarkan dengan doktor lain, doktor asal sudah tidak ‘wujud’ dalam hospital terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir sama adalah ibu bapa mangsa iaitu, Suresh Balakarishna dan Mogana Selvi serta peguam mewakili pasangan itu, Dinesh Muthal
Tambah Dayalan, doktor baharu yang mengambil alih rawatan mangsa memaklumkan kepada ibu mangsa yang pengesahan status OKU kanak-kanak malang itu tidak dapat disahkan dalam tempoh dua bulan kerana ia di bawah kes polis.
Berikutan itu, pihak keluarga berasa tertekan dan kecewa kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan ke atas suspek sejak laporan polis dibuat pada 30 April lalu.
Pada masa sama, Dayalan berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini agar tindakan segera dilakukan.
“Untuk maklumkan, kami juga akan menghantar memorandum kepada pihak Bukit Aman esok dan menggesa pegawai penyiasat yang berpengalaman sekurang-kurangnyaya berstatus inspektor diletakkan untuk menjalankan siasatan kes ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: