KUALA LUMPUR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang didakwa diserang pengiring kepada orang kenamaan hadir di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman untuk dirakam keterangan kali kedua, hari ini.
Mangsa yang juga pemandu e-hailing, Ong Ing Keong, 46, yang pekak dan bisu diiringi peguam Lawyer For Liberty yang terdiri daripada N. Surendran dan Latheefa Koya tiba Bukit Aman pada jam 10.45 pagi.
Pada minggu lalu, media melaporkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dipercayai punca seorang pemandu e-hailing didakwa diserang pengiring kepada rombongan kenamaan dalam kejadian yqng berlaku di sebuah hotel di Brickfields, ibu negara pada 28 Mei lalu.
Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes anggota pengiring didakwa memukul pemandu Grab di sebuah hotel di ibu negara.
Katanya, pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette