HULU KELANG – Lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan seni dan kenalan rapat Allahyarham Pyanhabib hadir memberi penghormatan terakhir sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, di sini, pukul 11.25 pagi ini.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenar, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66 yang juga pelakon dan penyair tersohor disolatkan di Masjid As-Sobirin, di sini.
Antaran yang hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim selain kenalan artis antaranya Datuk M. Nasri, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar; Datuk Dr Ras Adiba Radzi; Ito; Aris Ariwatan; Imuda; Khir Rahman; Ameerul Affendi dan Farid Kamil.
Malam tadi, pencinta puisi dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Pyanhabib di kediamannya, di sini.
Pyanhabib yang lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.
Di pentas lakonan, Allahyarham Pyanhabib membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.
Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham Pyanhabib adalah Tsu Feh Sofiah (1986); Rozana Cinta 87 (1987); Tak Kisahlah Beb (1989); Mat Som (1990); Rock Oo! (2013); Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).
Allahyarham Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali berjudul Tsu Feh Sofiah pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-6 pada 1986, namun, beliau menolak penganugerahan berkenaan. – MalaysiaGazette