Saksi ke-13, Tan Sri Ismee Ismail pada prosiding 1MDB di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail yang  berdepan saman daripada SRC International Sdn Bhd (SRC) mendakwa dirinya bukan boneka kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika disoal balas peguam mewakili Najib, Harvinderjit Singh, Ismee berkata, beliau tidak pernah anggap dirinya boneka walaupun tidak pernah bertanya apa-apa untuk mendapat arahan daripada mantan Menteri Kewangan itu.

Bagaimanapun Ismee mengaku tidak pernah fikir dua kali untuk menurut apa-apa arahan daripada Najib.

Dakwa Ismee, dirinya bukan sahaja tidak mempunyai nombor telefon peribadi Najib yang juga Penasihat Emeritus SRC sebaliknya juga tidak berkesempatan mengadakan pertemuan peribadi bagi berbincang isu syarikat dana strategik itu.

Ismee berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO,) Nik Faisal Ariff Kamil.

“Adakah anda setuju dengan cadangan bahawa anda adalah boneka untuk Datuk Seri Najib? Anda tahu boneka bermaksud apa sahaja beliau suruh kamu buat, kamu ikut tanpa banyak bertanya?: soal Harvinder.

Bagaimanapun Ismee menegaskan beliau bukan boneka dan tidak mengikut sahaja namun pada masa sama tidak pernah menyoal Najib.

Untuk makluman, SRC adalah anak syarikat 1MDB yang pada mulanya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), namun pada 25 September 2009 Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mengambil alih TIA dan dinamakan sebagai 1MDB.

Ismee juga mendakwa keputusan pemindahan wang sebanyak RM3.6 billion kepada SRC BVI merupakan keputusan pemegang saham SRC melalui resolusi pemegang saham.

“Apa sahaja dakwaan dan tuntutan Najib terhadap saya sama sekali tidak berasas kerana saya dan Lembaga Pengarah SRC melaksanakan arahan dan keputusan pemegang saham dengan niat baik tanpa mengesyaki apa-apa perlakuan tidak baik atau perlakuan jenayah.

“Apa sahaja keputusan atau kelulusan berkaitan pelaburan oleh plaintif adalah atas keputusan dan kelulusan oleh pemegang saham melalui resolusi yang mana saya tidak mempunyai sebarang kawalan.

“Saya tidak diberikan sebarang kuasa untuk mengawal selia urusan pentadbiran dan perniagaan SRC BVI yang mana syarikat itu ditubuhkan tanpa pembabitan dan pengetahuan saya,” katanya dalam keterangan saksi.

Selain Najib dan Nik Faisal, Ismee telah dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Prosiding bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast