Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid mengambil keputusan untuk berlapang dada dengan keputusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk merehatkan beliau daripada mengendalikan program Salam Baitullah.

Menurut pengurusnya, Ana, Ustaz Don tidak akan berhenti berdakwah dan akan terus meneruskan usaha-usahanya kerana percaya itu merupakan perkara yang terbaik untuk dilakukan pada masa sekarang.

“Sebagaimana Ustaz Don selalu pesan, arahan Ulil Amri selagi tidak bercanggah mesti dipatuhi. Perkara ini Ustaz Don selalu tekankan dalam mana-mana keadaan.

“Alhamdulillah, kami masih boleh meneruskan dakwah, itu satu perkara yang baik,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman memberitahu Ustaz Don direhatkan daripada daripada mengendalikan program Salam Baitullah.

Ujarnya, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan perdebatan berpanjangan netizen dalam media sosial.

Pihaknya juga enggan kontroversi tersebut menggangu penyiaran program berkenaan yang disiarkan sepanjang musim Haji tahun ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil Ustaz Don bagi mengadakan perbincangan serta mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi yang melanda pendakwah terkenal itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, susulan itu, beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd. Yusof sebelum mengadakan pertemuan itu pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast