Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada The 37th Asia-Pacific Roundtable (APR) ketika di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Semua pihak tidak boleh berdiam diri dengan krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin hari ini dan membiarkannya menjadi satu lagi siri pembunuhan besar-besaran di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia secara konsisten telah menyuarakan kebimbangan tentang keengganan Amerika Syarikat (AS) dan Barat untuk mengenakan tekanan ke atas Israel.

Tambah beliau, walaupun Malaysia bukan kuasa besar namun kerajaan akan menggunakan kebebasan untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin bagi mendapatkan hak mereka.

“Rakyat Palestin kini hidup tertindas dan terkepung sedangkan kita hidup dan bebas, mereka terhad dalam pengaruh dan kuasa walaupun negara berdaulat dan bebas.

“Bagaimanapun adalah penting untuk kita mengakui perkembangan positif yang sedang berlaku. Dalam kekangan sistem politik yang berdepan tahun pemilihan, Presiden Joe Biden baru-baru ini menyatakan rasa tidak sabar untuk meningkatkan lagi tekanan ke atas dengan rakan sejawatannya dari Israel.

“Beliau juga telah mula mendesak penerimaan cadangan untuk gencatan senjata sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan.

“Kami mengalu-alukan tanda-tanda awal perubahan di AS dan pendekatan ke arah konflik itu. Kami berharap AS akan melakukannya dan terus menilai semula pendekatannya dan menyegerakan penamatan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada The 37th Asia-Pacific Roundtable (APR) ketika di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2024.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya ketika hadir merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 di sebuah hotel di sini hari ini.

Sementara itu, Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 yang berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan lebih 400 perwakilan dari rantau Asia Pasifik.

Beliau mengetuai perbincangan mengenai ‘ASEAN pada 2025: Merenung Masa Lalu, Membentuk Masa Depan’ pada sesi pleno kedua persidangan itu.

Acara yang dianjurkan oleh badan pemikir Malaysia, Institut Kajian Strategik & Antarabangsa (ISIS) merupakan platform untuk menangani isu-isu penting yang mempengaruhi rantau Asia-Pasifik. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu selepas hadir pada The 37th Asia-Pacific Roundtable (APR) ketika di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2024.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast