Seorang guru tadika yang dipercayai telah mendera bayi di sebuah tadika hadir ke Kompleks Mahkamah Kajang bagi mendengarkan pertuduhan ke atasnya, pagi tadi. Foto SADIQ SANI, 06 JUN 2024

KAJANG – Seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan di bawah jagaannya.

Tertuduh, Nor A’in Ismail, 24, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini, pukul 4.15 petang pada 28 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pendakwaan memberikan laporan penuh perubatan.

“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan perubatan penuh,” kata Faelly.

Bagaimanapun, peguam Wan Guan Hui yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain tidak berisiko melarikan diri.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Mazuliana membenarkan Nor A’in diikat jamin RM8,000 berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali setiap bulan dengan tidak mengganggu keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 2 Julai untuk sebutan semula kes berserta laporan penuh perubatan mangsa.

Pada 3 Jun lalu, media melaporkan, polis menyiasat dakwaan bayi perempuan berusia 17 bulan  didera pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan bapa bayi membuat laporan pada pukul 7.36 malam.

Lelaki itu menerusi laporan tersebut mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar ketika disuap makan, dengan rambutnya ditarik serta dipicit hidung.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret hari ini, pemilik taska, Chan Pei Kuan, 34, didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah kerana pusat jagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa lesen, Mei lalu.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz turut mengarahkan wanita itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati menjalankan taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di taska sama sama pukul 7.30 malam pada tarikh sama.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast