Foto FB Suria FM.

KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM yang menerbitkan rancangan atau segmen Don Give Up menampilkan Ustaz Don Daniyal belum memberi kata muktamad berkenaan penggantungan pendakwah itu daripada rancangan berkenaan.

Suria dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah notis selanjutnya.

“Apa-apa kemas kini saya akan dimaklumkan dari masa ke masa,” kata stesen radio tersebut memetik laporan Kosmo Online hari ini.

Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid terlibat dengan segmen Don Give Up yang diterbitkan Suria setiap hari Jumaat (8 pagi – 9 pagi) bersama kru Morning Morning Suria.

Semalam, Ustaz Don dilapor ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi penyebaran hadis tidak bersumber.

Kelmarin, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ di mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.

Bagaimanapun, Don mendakwa tidak dimaklumkan secara rasmi tentang keputusan direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah siaran RTM.

Menurut pengurusnya, Ana, pihaknya sehingga kini masih menanti arahan secara rasmi daripada pihak produksi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast