KUALA LUMPUR – Ingatlah bahawa kebanyakan skim pelaburan yang diiklankan dalam talian tidak sah disisi undang-undang dan hanya akan berakhir dengan penipuan yang merugikan rakyat.
Oleh itu, rakyat perlu lebih berhati-hati apabila berdepan dengan iklan atau sebarang bentuk promosi di platform media sosial yang memaparkan peluang pelaburan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
“Saya hanya mahu menasihati semua agar berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam talian kerana tiada skim yang sah di sisi undang-undang, segala iklan sama ada di Telegram, Facebook atau mana-mana platform media sosial adalah tidak sahih.
“Saya boleh cakap ini dengan penuh yakin sebab mereka lebih gemar memaparkan iklan guru pelaburan dengan menunjukkan klip video meyakinkan orang untuk melabur walhal ia akan berakhir dengan penipuan membabitkan kerugian wang.
“Cara mudah untuk mengesan sama ada ia skim pelaburan yang menipu orang adalah dengan menjanjikan pulangan keuntungan berlipat ganda dan luar biasa yang mana pada realitinya tidak benar tetapi malangnya ramai yang tidak faham.
“Tiada cara jalan pendek untuk menjana pendapatan berlipat ganda dalam masa singkat iaitu mengubah modal RM300 kepada RM18,000. Terdapat beberapa pelaburan halal dan sah di sisi undang-undang yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dan itulah sebenarnya pelaburan sebenar dan sahih,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Sarjan Pelatih Bilangan 1 Siri 1/2023 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara pagi hari ini.
Mengulas kes penipuan melibatkan pemain bergu campuran badminton negara, Lai Pei Jing yang membuat laporan polis selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian, Ramli menjelaskan siasatan masih diteruskan. – MalaysiaGazette
Pei Jing hampir kehilangan semua wang simpanannya akibat penipuan