Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi hadir melawat tapak pameran di Program Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2024.

BANTING – Pelajar Tingkatan 5 yang tidak menduduki Sijil Pelajar Malaysia (SPM) mahupun gagal dalam peperiksaan itu digalakkan untuk menyertai kursus Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang gagal dalam SPM masih berpeluang mendapat pendidikan selagi mana menguasai kemahiran asas.

“Kita tawarkan asalkan mereka mempunyai kemahiran tiga iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Saya anggap semuanya mempunyai kemahiran itu, kita tawarkan kursus dengan masa anjal agar masa depan mereka terjamin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau pameran pendidikan kemahiran pada Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 10,160 dari 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menggalakkan pekerja industri gig ekonomi termasuk pemandu e-hailing dan p-hailing untuk merebut peluang TVET.

“Terdapat 1.16 juta dalam industri ini dan kita menawarkan upskilling dan reskilling kepada mereka.

“Selepas umur tertentu, apabila produktiviti mereka menurun, mereka boleh masuk ke kursus TVET ini untuk menjamin masa depan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette