KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan ketidakhadiran Datuk Seri Tiong King Sing pada majlis perasmian Jualan Mega Malaysia 2024 malam ini bukan disebabkan faktor keselamatan.
Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, sebaliknya menteri itu perlu menghadiri sambutan Hari Gawai 2024 di Sarawak yang tidak pernah dilepaskan setiap tahun.
“Menteri tidak hadir bukan disebakan isu keselamatam, sebaliknya kemunculan Hari Gawai.
“Kita tahu setiap tahun beliau tidak pernah lepaskan peluang itu dan ia merupakan tradisi orang Sarawak, jadi kita perlu hormati,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen Jualan Mega Malaysia 2024 di Pavilion Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya mengenai perkembangan kes ancaman bom palsu di kemeneriannya, Khairul Firdaus memaklumkan ia masih dalam siasatan polis dan tidak mahu mengganggu siasatan tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan bungkusan yang dialamatkan kepada Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing adalah sebagai ancaman bom palsu.
Jelasnya, ia selepas Unit Pemusnah Bom menjalankan pemeriksaan menggunakan dua ekor anjing pengesan dan teknologi untuk mengesahkan perkara tersebut.
Tambah beliau, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, bungkusan berisi bahan letupan menyerupai bom itu dihantar menerusi kurier pada jam 11.19 pagi Rabu lalu.
Bagaimanapun, siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957. – MalaysiaGazette