KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur berjaya mengesan dan membongkar taktik licik sindiket yang menguasai kawasan tertentu untuk terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di ibu negara.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, taktik sindiket itu berjaya dikesan menerusi hasil risikan dan tindakan Op Tiris yang dilaksanakan pihaknya sejak Mac tahun lalu.
Maklumat hasil risikan terbabit mendapati, kegiatan penyelewengan diesel di ibu negara membabitkan penglibatan lebih daripada satu sindiket.
“Kita dapati sindiket ini menguasai kawasan tertentu bagi membuat pembelian minyak diesel di stesen-stesen minyak terbabit dan kesemua lori yang digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang itu aktif melakukan kegiatan itu bermula dari pukul 5 petang sehingga 7 pagi sahaja.
“Sindiket memilih awal pagi bagi mengelak kegiatan jenayah mereka dikesan oleh pihak berkuasa KPDN atau polis.
“Malah kesemua pemandu lori yang digerakkan sindiket sangat berhati-hati semasa melakukan kegiatan itu bagi mengelak diekori oleh pihak berkuasa,” katanya apabila dihubungi hari ini.
Dalam perkara berkaitan, beliau menambah KPDN Kuala Lumpur juga tidak menolak kemungkinan terdapat pekerja stesen-stesen minyak bersubahat dalam kegiatan itu dan diberi imbuhan wang oleh pihak sindiket diesel.
Sindiket itu kemudian akan menghantar diesel hasil penyelewengan itu kepada pemborong yang beroperasi di luar ibu negara bagi tujuan untuk mengeksport atau kepada pihak industri.
“Justeru sejak pelaksanaan Op Tiris bermula dari Mac 2023 hingga Mei lalu, KPDN Kuala Lumpur berjaya merekodkan sebanyak 22 kes penyelewengan diesel membabitkan nilai rampasan yang mencecah RM1.62 juta.
“Selain kita juga membuat sitaan membabitkan 202,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM435,000 dan seramai 33 orang iaitu 25 warga tempatan dan lapan warga asing berjaya ditangkap dalam kegiatan tersebut.
“Mengikut nilai pasaran semasa, perbezaan harga minyak diesel bersubsidi di stesen minyak dengan minyak diesel industri melebihi RM0.80/liter dan ini menjadi faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi menerusi kegiatan penyelewengan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Menurut beliau, subsidi yang diberikan termasuk untuk diesel adalah untuk dinikmati oleh rakyat di negara ini bukan untuk aktiviti penyelewengan bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda oleh pihak tertentu.
“Saya ingin menegaskan mana-mana individu atau pihak yang ingkar dalam soal ini akan menerima hukuman yang berat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya. – MalaysiaGazette