Acara Road To MAHAFun Run 2024 diadakan pada Karnival Setahun Jualan Agro MADANI sempena Majlis Pra Peluncuran MAHA 2024 di sini hari ini.

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 menyasarkan tiga juta pengunjung sepanjang penganjurannya dari 11 hingga 22 September ini di MAEPS.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Lokman Hakim Ali berkata, bagi meraikan 100 tahun penganjuran, edisi kali akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, lebih 180 pempamer dari luar negara telah mengesahkan penyertaan melibatkan negara seperti China dan negara ASEAN antaranya Singapura dan Thailand.

“MAHA 2024 akan membawa masuk syarikat-syarikat yang memiliki teknologi yang tinggi dari luar negara untuk berkongsi kemahiran dan keupayaan masing-masing.

“Ini sangat penting kerana sektor pertanian hari perlu menggalakan penglibatan khususnya beliau dengan melihat teknologi seperti AI atau kecerdasan buatan bagi meningkatkan produktiviti tinggi dalam menarik golongan itu.

“Justeru, MAHA 2024 akan mencetus pembangunan daya tahan dalam sektor keterjaminan makanan dan mengangkat minat golongan muda untuk turut serta dan menjadikan sektor ini sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas acara Road To MAHA Fun Run 2024 di Karnival Setahun Jualan Agro MADANI Sempena Majlis Pra Peluncuran MAHA 2024 di sini hari ini.

Dua tahun lalu, jumlah pengunjung secara fizikal MAHA 2022 telah mencapai 1,181, 279 pengunjung manakala 272,304 bagi pengunjung atas talian.

Acara dwi tahun itu turut mencatat rekod jualan sebanyak RM260 juta termasuk RM25,270,436.35 secara dalam talian.

Sebanyak 33 perjanjian persefahaman (MoU) turut ditandatangani dengan nilai kewangan mencecah RM5.64 bilion.

Daripada segi pembiayaan pula sebanyak RM460.8 juta dengan 2,947 permohonan direkodkan.

Mengulas lanjut, Lokman Hakim berkata, Majlis Peluncuran MAHA 2024 akan dilaksanakan selama dua harl melibatkan penganjuran Karnival Sambutan Setahun Program Jualan Agro MADANI dan Mini Rhytym Of The Farmers selain Road To MAHA Fun Run 2024.

Beliau berlata, ia diadakan sebagai salah satu medan terbaik untuk mempromosi serta memberi kesedaran awal kepada kumpulan sasar bersempena penganjuran MAHA 2024.

Bermula pada tahun 1923, MAHA telah menjadi pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara.

Melangkaui satu abad penganjuran, MAHA telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Menerusi siri pameran yang dianjurkan, MAHA telah menjadi pemangkin untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast