KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan penunggang motosikal lain di Kilometer 8.0, Lebuh Raya Guthrie berhampiran Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada jam lebih kurang pukul 2.11 petang.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi nahas sebelum siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu motosikal jenis Benelli dan Honda RS150 yang ditunggang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Benelli yang ditunggang seorang lelaki berusia 20-an yang merupakan kakitangan kerajaan memasuki daripada laluan utama lebuh raya ke dalam lorong motosikal.
“Lalu, motosikal Benelli pemuda itu bergesel dengan motosikal Honda yang ditunggang warga emas yang sedang bergerak lurus di lorong terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Hafiz, akibat pergeselan kedua-dua motosikal itu, warga emas itu dipercayai terbabas dan mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Punca kemalangan sebenar masih dalam siasatan dan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tujuan proses bedah siasat.
“Polis juga telah menghubungi waris keluarga mangsa untuk Tindakan selanjutnya,” katanya.
Kes sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) apj 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Pada masa yang sama, pihak polis meminta kerjasama mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat tambahan berhubung nahas itu diminta agar tampil memberi Kerjasama kepada siasatan dengan menghubungi Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette