Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bapa dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memukul dua anak kandungnya, dua minggu lepas.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dan memerintahkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun lepas.

Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas anak perempuannya berusia 15 tahun dan anak lelaki berusia 13 tahun, dengan sengaja menganiaya remaja berkenaan sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kepong Utara, Sentul di sini antara 9 malam, 30 Mei hingga 5 pagi, 1 Jun lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 30 Mei sekitar 9 malam hingga 12 tengah malam, lelaki terbabit memukul kedua-dua kaki anak lelakinya dengan menggunakan jaring yang terpasang pada sebatang raket badminton selain turut melempang muka dan memukul bahagian badan remaja berkenaan.

Anak perempuannya turut dipukul dengan jaring raket badminton di muka pada 31 Mei dan bapa mereka juga meminta dua remaja itu berjalan itik di dalam rumah tanpa henti dalam tempoh masa yang lama pada 1 Jun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai tanggungan lima anak selain menghidap sakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast