KUALA LUMPUR – Penyanyi Dr Fitri Haris kerugian sebanyak RM2,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai penyanyi Azadan Rabbani.
Fitri atau Mohamad Fitri Mohamad Haris, 40, menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada Azadan yang ingin meminjam wang sebanyak RM2,000.
Katanya, kiriman mesej tersebut kelihatan sangat menyakinkan dan tanpa berfikir panjang terus memindahkan sejumlah wang seperti diminta.
“Saya mendapat mesej daripada Azadan di WhatsApp mengatakan ingin meminjam duit kerana gagal membuat transaksi akibat sudah melebihi had.
“Atas alasan tertentu jadi dia ingin meminjam wang sebanyak RM2,000. Memandangkan saya memahami Azadan yang aktif dalam aktiviti pengurusan acara, jadi tanpa berfikir panjang saya berikan wang tersebut,” katanya dalam satu perkongsian video TikTok semalam.
Kemudian, setelah transaksi pertama selesai, individu terbabit sekali lagi meminta wang sejumlah RM3,000.
“Selepas RM2,000, kemudian dia meminta lagi untuk pinjamkan wang sebanyak RM3,000. Waktu itu saya mula mengesyaki ada yang tidak kena,” katanya.
Fitri kemudian menelefon Azadan untuk mendapatkan pengesahan.
Namun, dia dikejutkan dengan berita mengenai Azadan yang menjadi mangsa penipuan penggodam (scammer).
“Difahamkan sejak Maghrib tadi (semalam) telefon Azadan telah digodam. Jadi saya nasihatkan kepada rakan-rakan yang menerima kiriman mesej meminjam wang tidak mengira daripada sesiapa agar lebih berhati-hati.
“Insya-Allah saya akan pergi membuat laporan polis. Tetapi, saya tidak yakin untuk mendapatkan semula duit itu. Saya mendoakan semoga individu itu terbuka hatinya dan saya hanya bersangka baik bahawa mungkin dia memang lagi dalam kesusahan.
“Semoga Allah menggantikan dengan yang lebih baik. Jika bukan dengan wang ringgit, tetapi dikurniakan anak yang soleh dan solehah serta isteri yang solehah, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama Fitiri turut memaklumkan individu terbabit dipercayai dikenali sebagai Lugiana Connie Anak.
Dalam perkembangan lain, menerusi perkongsian Azadan Instagram Stories, dia telah membuat laporan mengenai insiden terbabit.
“Saya di balai polis sekarang untuk buat laporan bahawa WhatsApp saya telah digodam. Kawan-kawan tolong sampaikan kepada kenalan yang mengenali saya, risau masing-masing kena scam nanti,” katanya.
Fitri yang merupakan nggota kumpulan nasyid UNIC ini juga seorang pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. – MalaysiaGazette