PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Dana Peladang Kebangsaan (DPK) perlu terus meneroka peluang pelaburan baharu dengan mengoptimumkan pengurusan tunai serta melakukan transformasi digital.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain itu kedua-duanya perlu komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, nilai tambah produk serta memperkasa pemasaran bagi mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, usaha itu adalah selaras dengan visi kementerian untuk memperbaiki tatakelola dan pentadbiran yang termaktub dalam Pelan Inovasi Keterjaminan Agro Makanan Rakyat atau PINTAR yang dilancarkan pada awal tahun ini.
“DPK juga perlu memperkenalkan produk pelaburan yang lebih menarik dan relevan kepada golongan muda, seperti pelaburan dalam teknologi hijau atau start-up yang mungkin lebih dekat dengan minat dan nilai mereka.
“Produk ini boleh direka bentuk dengan struktur yang lebih fleksibel dan permulaan modal yang lebih rendah untuk memudahkan akses kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP yang menjalankan tugas Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK, Datuk Ali Shikh Ahmad dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad berkata, DPK perlu mengoptimumkan pengurusan tunai untuk menjana pulangan yang lebih kompetitif serta mengurangkan peratusan kadar pembiayaan tidak berbayar bersih (NPF).
Katanya, ia boleh dicapai melalui latihan dan bengkel kepada kakitangan mengenai pengurusan kewangan yang baik serta pengenalan mekanisme pengurusan tunai yang canggih.
Tambah beliau, meskipun terdapat usaha ke arah transformasi digital, penggunaan teknologi perlu diperluaskan untuk meningkatkan efisiensi operasi dan interaksi dengan ahli.
“Kita perlu melanjutkan usaha transformasi digital dengan memperkenalkan lebih banyak aplikasi dan platform digital yang memudahkan urusan ahli-ahli serta mempertingkatkan sistem keselamatan siber.
“Ini termasuk penggunaan meluas aplikasi pembayaran tanpa tunai seperti JomPay, DuitNow, FPX serta peningkatan penggunaan aplikasi mudah alih dan portal DPK,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, DPK juga perlu memperkenalkan produk pelaburan yang lebih menarik dan relevan kepada golongan muda, seperti pelaburan dalam teknologi hijau atau start-up yang mungkin lebih dekat dengan minat dan nilai mereka.
Katanya, produk itu boleh direka bentuk dengan struktur yang lebih fleksibel dan permulaan modal yang lebih rendah untuk memudahkan akses kepada golongan muda. – MalaysiaGazette