Sebanyak 109 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Aman Tiara, Telok Panglima Garang, Selangor pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 109 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Aman Tiara, Telok Panglima Garang, Selangor pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, operasi tersebut dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bermula  9 malam.

“Saman terbabit dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 55 buah motosikal dengan kesalahan yang dikesan iaitu tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tidak tampal pelekat P, ubah suai ekzos, tidak pakai topi keledar dan tiada nombor pendaftaran.

“Selain itu, enam motosikal telah disita melibatkan dua Modenas Kriss, Yamaha Lagenda (dua buah), Suzuki RGV serta Yamaha LC,
dan sitaan dibuat atas kesalahan utama antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu dan tidak pakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, kesemua motosikal yang disita dibawa balik ke IPD Kuala Langat untuk tindakan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tegasnya, BSPT IPD Kuala Langat akan meneruskan operasi penguatkuasaan untuk memastikan tiada aktiviti samseng jalanan berleluasa khususnya di daerah Kuala Langat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti samseng jalanan boleh berhubung terus dengan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast