Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menyambut baik cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya pucuk pimpinan parti mengenal pasti awal bakal calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16).

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, sekiranya ia dilaksanakan maka langkah itu akan memudahkan calon-calon turun padang untuk memperkenalkan diri mereka di kawasan yang telah dikenal pasti untuk  bertanding.

“Pengalaman yang lepas calon hanya akan dinamakan setelah Dewan Undangan Negeri, Parlimen dibubarkan. Ini akan menimbulkan masalah seperti sabotaj dalam kalangan mereka yang tidak terpilih yang berkesudahan dengan kekalahan.

“Sekiranya calon itu dikenal pasti lebih awal maka unsur sabotaj itu dapat diatasi atau dikurangkan kerana mereka mempunyai masa yang lama untuk memujuk mereka yang tidak dipilih bertanding,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad lalu, Johari mahu UMNO lebih berani dengan mengemukakan calon yang akan menjadi wakil rakyat sebelum PRU-16.

Katanya, sekiranya lewat mengumumkan calon, ia akan memberi kesukaran kepada rakyat untuk mengenali individu tersebut.

“Jadi, bila umum awal calon, pemimpin terbabit boleh berkhidmat kepada masyarakat dan perkara ini perlu dilakukan dengan segera.

“Sebelum ini kita tidak buat kerana UMNO dan BN (Barisan Nasional) kuat. Bila kuat, saat akhir pun boleh menang,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha turut menyokong usul supaya lebih ramai orang muda diberi peluang untuk bertanding dalam PRU-16.

Malah veteran itu juga berkata, kepimpinan parti juga sewajarnya mengenal pasti bakal-bakal calon itu dalam kalangan tokoh muda di bahagian masing-masing secara profesional tanpa terikat dengan kroni dan keluarga.

“UMNO mesti keluar dari cara lama kalau mahu parti ini terus relevan dan menyesuaikan dengan kehendak orang muda yang menjadi pengundi majoriti sekarang.

“UMNO mesti mengikut cita rasa mereka yang mahukan perubahan. UMNO mesti berani berubah walaupun sukar untuk diterima oleh segelintir mereka yang merasakan merekalah warlord yang boleh menentukan segala-galanya dalam parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast