IPOH – Sepasang suami isteri direman selama enam hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera, pada Isnin.
Perintah reman dikeluarkan Majistret S Punitha di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa, bagi siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Terdahulu media melaporkan, sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera, pada Isnin.
Kedua-dua suspek yang juga ibu angkat kepada mangsa berusia 27 tahun sementara suami wanita itu berusia 66 tahun ditahan pada jam 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan di hospital itu, pada jam 9.45 pagi Isnin.
Katanya, mangsa yang berusia lima tahun yang dibawa dari Taman Malkop Silibin telah diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) di wad kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan dan disyaki telah dipukul dengan menggunakan objek tumpul.
“Hasil bedah siasat yang telah dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘multiple blunt injuries’.
“Selain itu, terdapat juga luka koyak dan lebam pada salur peranakan luar dan dubur mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette