Zainuddin (baju hitam) didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinnag hari ini atas pertuduhan menerima rasuah secara bulanan daripada seorang pengarah syarikat logistik.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan menerima wang berjumlah RM8,000 daripada seorang pengarah syarikat logistik pada 2018.

Tertuduh, Zainuddin Jaafar, 53, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di stesen penguat kuasa JPJ Kuala Ketil, Kedah didakwa menerima wang RM1,000 setiap bulan daripada seorang pengarah syarikat logistik melibatkan penguatkuasaan ke atas lori mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia didakwa menerima wang tersebut menerusi akaun bank isterinya berusia 48 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Tamab Desa Murni, Butterworth sini antara Mei hingga Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun dengan denda atau dengan kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan.

Ketika prosiding, Afiqa Liyana menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh namun Anbananthan merayu agar anak guamnya diberikan jaminan minimum atas alasan perlu menyara lima anak yang masih belajar selain menjaga isteri yang sakit.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta lapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast