KUALA LUMPUR – Pihak industri tidak boleh lagi selesa sebaliknya perlu menggunakan peluang yang ada melakukan perbandingan dan melihat apa yang istimewa menerusi kekuatan pada negara jiran yang bersaing dengan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengenal pasti sesuatu itu adalah perlu dan penekankan melakukan perubahan harus dilakukan.
Katanya, perubahan tersebut merupakan perubahan struktur pendidikan sama ada bermula dengan penguasaan Bahasa Melayu yang baik dan penekanan terhadap bahasa Inggeris juga diutamakan termasuk bahasa lain.
“Ia perlu sikap yang lebih terbuka asalkan kita terima kekuatan asas dan landasan bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di sini malam ini.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dam timbalannya, Liew Chin Tong.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan percaya keupayaan industri untuk menentukan jenis-jenis latihan kerana mereka lebih tahu apa yang diperlukan daripada sistem pendidikan konvensional.
Jelasnya, ia adalah usaha yang cuba diketengahkan untuk mempercepatkan kelulusan dan proses dan pada masa sama memberi komitmen supaya boleh diubah suai mana yang perlu.
“Ini kita mahu tingkatkan indikator perniagaan sebagai satu penilaian yang harus memberikan penekanan kepada kita bahawa pendekatan baru dan kaedah-kaedah baru yang harus kita padankan.
“Jadi, kita tak boleh atau tidak boleh maju dengan ruang yang selesa dan mudah berasa baik dengan kejayaan-kejayaan yang ada,” ujarnya.
Sementara itu, Zafrul ketika menyampaikan ucapan aluan berkata, AKI adalah wadah bagi kerajaan mengiktiraf syarikat cemerlang dalam amalan pengurusan, kualiti produk dan perkhidmatan serta sentiasa memberikan nilai tambah kepada pemegang taruh.
Katanya, bagi memastikan AKI kekal relevan, ia telah melalui beberapa fasa penstrukturan semula di mana konsep, kategori dan faedah kemenangan telah dikaji dan ditambahbaik sesuai dengan persekitaran dan perkembangan semasa industri.
“Untuk AKI 2024, terdapat 13 kategori dipertandingkan termasuklah Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan; Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan; Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka; Anugerah Kecemerlangan Syarikat Paling Berpotensi dan Anugerah Kecemerlangan Industry4wrd.
“Satu anugerah baharu diperkenalkan kali ini iaitu Anugerah Kecemerlangan ESG yang selaras dengan perubahan dinamik dalam industri yang menitikberatkan aspek kelestarian, inovasi dan produktiviti khususnya bagi mengukuhkan daya saing di peringkat global.
“Kesemua kategori ini mencerminkan teras-teras yang ditekankan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu kita, dan juga polisi-polisi lain. Jadi, sememangnya setiap anugerah ada objektif yang jelas untuk dicapai bagi peningkatan sektor industri kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette