KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal dalam mengemukakan representasi untuk menggugurkan 11 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM6,000.
Berikutan itu, tertuduh, Ku Aznal Shahri Ku Abd Hamid akan mula dibicarakan di Mahkamah Sesyen, di sini, bermula 7 Oktober ini.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Shahrom Idris memaklumkan kepada mahkamah, representasi yang dikemukakan Ku Aznal ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mahkamah dimaklumkan seramai 24 saksi pendakwaan akan memberi keterangan berhubung kes itu.
Rozina menetapkan 7 hingga 10 Oktober dan 18 hingga 21 November untuk perbicaraan kes.
Ketika kejadian, Ku Aznal Shahri berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya didakwa membuat tuntutan palsu pada 5 Mac lepas.
Mengikut kertas pendakwaan, semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, KDN Putrajaya antara 2 Mei dan 7 Ogos 2018.
Ini membabitkan sewaan lima hotel berjumlah RM5,344, elaun perjalanan sebanyak RM645.50 dan bayaran tol RM63.40 yang kesemua berjumlah RM6,052.90.
Jika sabit salah, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. -MalaysiaGazette















