KUALA LUMPUR – Perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku pertama 2024 merekodkan RM24.1 bilion, melonjak 25.3 peratus tahun ke tahun.
Bilangan pelawat domestik di Malaysia mengalami lonjakan yang ketara untuk merekodkan 58.6 juta pelawat domestik bagi suku pertama 2024, meningkat 19.0 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 6.5 peratus berbanding suku keempat 2023.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan yang drastik pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion, berbanding RM64.1 bilion pada 2022.
Prestasi yang memberangsangkan bagi perbelanjaan ini didorong oleh peningkatan jumlah perbelanjaan oleh pelancong, 34.4 peratus dan pelawat harian, 29.7 peratus, yang mana perbelanjaan pelancong penyumbang majoriti iaitu sebanyak 61.5 peratus (2022: 60.7%).
Jumlah pelawat domestik turut melonjak 24.6 peratus untuk mencatatkan 213.7 juta pelawat berbanding 171.6 juta pelawat pada tahun 2022.”
Perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah untuk membeli-belah dengan sumbangan sebanyak 36.3 peratus (2022: 38.9%), diikuti oleh makanan & minuman, 16.3 peratus (2022: 15.2%) dan pembelian bahan api kenderaan, 13.2 peratus (2022: 13.8%).
Melawat saudara-mara & rakan-rakan kekal sebagai penyumbang utama bagi tujuan pelancongan domestik iaitu 33.6 peratus (2022: 33.7%), namun ia masih belum mengatasi peratusan yang dicatatkan pada tahun pra-pandemik iaitu 42.3 peratus.
Membeli-belah kekal sebagai tujuan kedua dengan sumbangan 32.6 peritus (2022: 29.9%).
Jumlah perjalanan domestik menunjukkan peningkatan ketara yang mana pelawat domestik telah melakukan 241.5 juta perjalanan di dalam negara pada tahun 2023, melonjak 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Namun begitu, purata bilangan hari menginap (ALOS) menurun kepada 2.45 malam berbanding 2.55 malam pada tahun sebelumnya.
Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada tahun 2023 iaitu menarik seramai 27.6 juta pelawat domestik, diikuti oleh Kuala Lumpur dan Sarawak, masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.
Jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke negeri Johor menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 42.7 peratus bagi merekodkan 8.92 juta pelancong berbanding tahun sebelumnya, 6.25 juta pelancong. – MalaysiaGazette