KUALA LUMPUR – Penyanyi, Shiha mengakui dirinya dan kekasih yang dikenali sebagai Kamarul masih memilih masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga dan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd, Zikir turut memberitahu mereka sudah pun menempah baju pernikahan sejak tiga tahun yang lalu.
Namun niat baik itu tertangguh gara-gara dia mahu memberikan fokus sebagai usahawan selebriti yang sedang dijalankan bersama ketika ini.
“Saya sebenarnya ada beberapa target yang saya hendak capai terlebih dahulu tetapi saya oeky kalau jodoh itu sampai cepat tapi biasalah, bila kita rancang ada sahaja benda-benda yang lain yang saya perlu fokus dahulu.
“Dan sebenarnya, baju kahwin sudah siap tiga tahun lepas sebenarnya tapi bila sudah lama sangat ini, nanti kahwin buat baju baru sahaja.
“Cuma saya risau hendak jawab pasal kahwin sebab takut orang jemu dengan jawapan saya cuma sekarang ini jawapan saya ialah kami masih menunggu waktu yang tepat untuk berkahwin,” kata pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 37.
Dia berkata demikian pada majlis pelancaran cawangan kedua Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam bertempat di Shah Alam semalam.
Shiha dan Kamarul sebelum ini telah menjalinkan hubungan cinta selama 15 tahun dan tidak pernah merahsiakannya.
Sementara itu, Kamarul atau lebih mesra disapa Arul memaklumkan dia berjanji untuk mengahwini pelantun lagu Kalam itu pada hujung tahun ini.
“Shiha memang cakap pada saya nak kahwin, tapi kami berdua dah bincang yang kami nak fokus pada kerjaya dulu. Tapi saya cakap pada Shiha yang tahun ini kita akan cuba selesaikan semua, insya-Allah.
“Kami janji bila dah ada tarikh kahwin, kami akan terus beritahu,” katanya.
Sementara itu, Shiha kini melebarkan perniagaan dalam bisnes restoran nasi yang apabila membuka cawangan kedua di Seksyen 7, Shah Alam yang diusahakan bersama rakan kongsinya.
Tahun lalu, dia membuka Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Wisma Infinitum, Kampung Baru yang menawarkan tiga pilihan menu nasi ayam iaitu Nasi Ayam Barbeku, Nasi Ayam Panggang dan Nasi Ayam Stim selain pelbagai pilihan makanan lain seperti menu Cina Muslim. – MalaysiaGazette