Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

PELABUHAN KLANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku kejadian samun menggunakan senjata api di sebuah kedai emas, Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian 4.15 petang itu, seorang lelaki tidak diketahui bangsa dan warganegara menunggang motosikal jenis Yamaha Y150 berwarna biru ketika kejadian.

Beliau berkata, suspek dipercayai seorang lelaki dewasa telah masuk ke premis sambil memegang sebuah objek dipercayai pistol dan terus memegang pengawal keselamatan yang bertugas di premis tersebut.

“Suspek kemudiannya membawa masuk pengawal ke dalam premis dan melepaskan dua das tembakan ke lantai, manakala beberapa orang awam yang berada di dalam premis berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran suspek.

“Setelah itu suspek telah mengarahkan penjaga premis untuk mengeluarkan barang kemas dalam premis tetapi penjaga premis tidak menurut arahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Fong, suspek bertindak mengambil beberapa gelang dan rantai di atas meja jualan serta dua beg tangan milik pelanggan sebelum melarikan diri menggunakan motosikal tersebut dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

“Suspek dipercayai seorang lelaki dewasa berbadan gempal berbaju lengan panjang warna merah, berseluar panjang warna gelap, memakai helmet warna putih dan visor warna hitam serta bersarung tangan warna putih,” katanya.

Dalam masa sama, Fong mengesahkan insiden samun itu tidak melibatkan kemalangan jiwa sama ada pelanggan mahupun penjaga kedai emas terbabit.

“Pelanggan dan penjaga premis tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala anggaran kerugian masih belum dipastikan,” katanya.

Selain itu, katanya Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor juga membantu siasatan dan telah menjumpai beberapa barang kes termasuk sebutir kelongsong peluru.

“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu kesalahan melakukan kesalahan rompakan dengan melepaskan tembakan,” katanya.

Katanya lagi, polis dalam usaha untuk mengenalpasti suspek yang terlibat dan akan membuat tangkapan dalam tempoh masa terdekat.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast