Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan agensi persekutuan yang berkaitan sedang dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan urusan pembangunan ladang ternakan ayam moden di negeri itu melalui transformasi peraturan.

Negeri Johor merupakan pengeluar ayam pedaging terbesar di Malaysia dengan sumbangan sebanyak 30% daripada keseluruhan pengeluaran negara.

Dengan mengambil kira perkembangan semasa, pelbagai isu dan cabaran yang muncul perlu diselesaikan secara bijak dan efektif.

“Sehingga kini, 75 peratus ladang ternakan ayam masih diuruskan secara sistem terbuka, membawa kepada produktiviti pengeluaran yang rendah,” menurut MPC dalam kenyataan di sini.

Antara cabaran yang menghalang penternak sedia ada untuk beralih kepada sistem tertutup adalah proses untuk mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) serta proses penukaran status tanah yang kompleks dan melibatkan kos yang tinggi.

Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang melaksanakan beberapa sesi libat urus dan bengkel melibatkan pihak berkepentingan negeri, agensi persekutuan dan persatuan penternak ayam Johor bagi memastikan isu ini ditangani dengan cekap dan berkesan.

MPC komited memudahcara pelaksanaan peraturan lebih cekap dan tangkas supaya peraturan yang diwujudkan menyokong penternakan moden, bukan menjadi beban tidak wajar kepada penggiat industri.

Menurut MPC, beban peraturan tidak wajar ke atas perniagaan boleh memberi impak negatif kepada produktiviti pengeluaran dan daya saing industri.

“Dengan memperkenalkan proses kelulusan yang lebih ringkas dan efisien, inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga memastikan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan, sekali gus memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat termasuklah pihak berkuasa tempatan, pentenak, dan masyarakat setempat,” katanya.

MPC menambah, industri penternakan negara mempunyai potensi besar untuk berkembang sama ada untuk kegunaan domestik atau eksport berdasarkan permintaan.

Melalui inisiatif ini, beberapa jangkaan hasil dan impak positif akan dapat dicapai, antaranya adalah peningkatan pengeluaran sebanyak 20%, pengurangan kos operasi perniagaan sebanyak 15%, serta peningkatan tahap sara diri pengeluaran produk ungags
negara kepada 140% menjelang tahun 2030.

Selain menstabilkan harga produk ayam, memastikan sekuriti makanan negara terjamin dan mengurangkan kos sara hidup rakyat, ianya juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN2.0) 2021-2030 bagi mewujudkan persekitaran pembangunan yang mampan dan seterusnya dapat melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri Johor. – MalaysiaGazette