NIBONG TEBAL – Seorang penumpang maut manakala pemandu cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan bas ekspres di Kilometer 155.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Sungai Bakap di sini, hari ini.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Safi@Roslan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.36 sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 dengan bas ekspres yang membawa penumpang.
“Semakan lanjut mendapati pemandu kereta berkenana yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan pada muka dan telah dibawa ke hospital sebelum kehadiran pihak bomba.
“Susulan itu, pemeriksaan di dalam kereta mendapati terdapat seorang lelaki yang juga penumpang bahagian hadapan tersepit dalam kenderaan itu.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 hingga 25 minit untuk mengeluarkan mangsa berusia 30 tahun itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan penumpang itu meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette