PETALING JAYA – Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, penurunan harga runcit telur tidak menjejaskan penternak pada masa ini dan inisiatif tersebut dapat memanfaatkan pengguna.
Beliau berkata, penurunan harga itu juga bermakna harga telur di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara-negara jiran.
Katanya, harga telur gred C di Malaysia sebagai contoh merupakan yang paling murah di Asia Tenggara.
“Telur gred C di Malaysia adalah 38 sen berbanding 70 sen di Singapura. Perbezaan harga adalah hampir satu kali ganda,” katanya kepada Sinchew Daily.
Yoon Yeau berkata, jualan telur dijangka dapat dinaikkan selepas harga satu papan telur diturunkan sebanyak 90 sen.
Katanya, bekalan telur adalah mencukupi dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini dan keadaan ini dijangka berterusan, melainkan ada kejadian luar jangkaan.
“Kebanyakan biji jagung dan soya yang menjadi makanan ayam adalah diimport dari Brazil dan Argentina. Jika harga di peringkat global tidak berubah, maka kos juga akan stabil.
“Tidak kira dalam pengeluaran telur ayam atau daging ayam, 75 peratus kos adalah membabitkan pembelian biji jagung dan kacang soya,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan harga runcit telur Gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan tiga sen sebagai sebahagian daripada inisiatif subsidi baharu kerajaan.
Harga baharu bagi telur Gred A, B dan C akan ditetapkan masing-masing pada 42 sen, 40 sen dan 38 sen bagi setiap telur.
Pemberian subsidi itu akan melibatkan perbelanjaan kerajaan sekitar RM100 juta, meliputi sebanyak 10 sen sebiji telur. – MalaysiaGazette