Datuk Suboh Md Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh mendakwa syarikat pelaburan strategik itu dikawal oleh Datuk Seri Najib melalui proksi, Nik Faisal Ariff Kamil.

Beliau berkata, walaupun berjawatan pengarah yang memiliki kuasa dalam membuat keputusan penting namun dalam syarikat SRC International yang bertaraf sendirian berhad itu, amalannya lain.

Katanya, bekas Perdana Menteri dan Nik Faisal yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit membuat semua keputusan penting.

Suboh memberitahu, Nik Faisal bertindak bagi pihak Najib yang merupakan pemegang saham tunggal dan Penasihat Emeritus SRC Internarional.

“Ini sangat berbeza jika berbanding syarikat sendirian berhad lain. Amalan biasa, undang-undang selalunya bawah bidang kuasa pengarah tapi pengalaman kerja saya di SRC berlainan.

“Semua pelaburan dan keputusan perlu dirujuk kepada Najib manakala Nik Faisal akan bertindak bagi pihak Perdana Menteri ketika itu.

“Kuasa kami sebagai pengarah tidak bermakna kerana perlu patuh pada arahan Najib melalui minit-minit mesyuarat,” katanya di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan Nik Faisal.

Selain Najib dan Nik Faisal, Suboh dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC International mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC International selain menyeleweng dana syarikat itu.

Pada keterangan yang lepas, Ismee mendakwa beliau tidak pernah membantah arahan Najib berkaitan pelaburan SRC International.

Sebaliknya Ismee berkata, beliau percaya setiap arahan Najib adalah untuk kebaikan dan kepentingan negara.

Jelas Ismee, sepanjang beliau berada di SRC International, setiap arahan akan dituruti tanpa sebarang keraguan.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast