Foto IG Elfira Loy.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Elfira Loy bersyukur apabila impiannya untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah bersama ibu tercapai.

Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata, perancangan awal untuk menunaikan haji bersama ibu itu sudah dibuat sejak beberapa tahun yang lalu.

Namun kata wanita berusia 30 tahun itu, niat itu terpaksa ditangguhkan memandangkan anak-anaknya yang masih kecil.

“Syukur sangat impian mama (ibu Elfira) and saya untuk mengerjakan Haji bersama beberapa tahun lama yang lepas akhirnya terkabul.

“Sebenarnya alhamdulillah kami berdua mendapat peluang untuk mengerjakan haji dari Tabung Haji.

“Tapi disebabkan memikirkan fasal anak jadi saya menolak dan dan dahulukan Mama dulu,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Foto IG Elfira Loy.

Tahun ini, rezeki datang sekali lagi apabila Elfira menerima undangan daripada Kementerian Media Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji pada saat-saat akhir.

Kata ibu kepada dua anak itu, jemputan kali kedua ini membuktikan dirinya sememangnya ditakdirkan menjadi tetamu Allah bagi melengkapkan rukun Islam kelima berkenaan.

“Pada hari doa selamat mama, saya mendapat berita gembira bahawa ada jemputan dari Kementerian Media Arab Saudi.

“Masya-Allah! Allah benar-benar menjemput saya sehingga dua kali jemputannya, jadi saya tawakal pada Allah. Saya pergi sahaja lillahitaala,” ujarnya.

Elfira berangkat ke Tanah Suci pada 10 Jun lalu menerusi jemputan dari Kementerian Arab Saudi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast