Razali Idris

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berlaku kekosongan luar jangka berkuatkuasa hari ini diharap dapat dilakukan sama peringkat Parlimen.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul perlu membuat keputusan sama sebagaimana yang dibuat negeri Kelantan hari ini.

“Kita nampak speaker (Dewan Rakyat) tidak boleh nak elak lagi, kena buat keputusan untuk mengosong kerusi.

“Jadi keputusan yang dibuat oleh DUN Kelantan kita alukan dan kita harap Speaker Dewan Rakyat pun ambil tindakan yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Razali berkata demikian mengulas pengumuman Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan (DUN), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengumumkan kerusi tersebut kosong.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis di bawah fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan daripada Bersatu pada 12 Jun yang memaklumkan Mohd Azizi hilang keahlian daripada Bersatu.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, keputusan itu memberikan petunjuk positif terhadap Bersatu yang kehilangan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN di Selangor.

Jelasnya, ia adalah keputusan yang tepat bagi merungkai kemelut yang dibawa oleh kesemua tujuh wakil Bersatu yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“DUN Kelantan sudah membuat satu keputusan yang tepat dan cepat untuk memastikan Akta Anti-Lompat parti bagi DUN Kelantan terlaksana.

“Kita bersetuju dengan pengumuman yang dibuat DUN Kelantan maka tidak sempat 21 hari daripada notis yang diberikan Bersatu. Apabila dihantar sahaja notis terhenti keahlian, maka dia terus buat keputusan tidak sampai 21 hari,” jelas Razali.

Sebelum ini, Bersatu memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.

Antaranya enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DUN Nenggiri diisytiharkan kosong

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast