Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Ratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dilaksanakan kerajaan mampu membawa pelbagai kebaikan kepada pekerja di Malaysia, sekali gus meningkatkan perlindungan hak dan kesejahteraan golongan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ratifikasi itu mencerminkan komitmen Kerajaan Malaysia komitmen untuk menegakkan keselamatan pekerjaan yang menyeluruh dan peraturan kesihatan selaras dengan amalan terbaik global, sekali gus meningkatkan perlindungan hak dan kesejahteraan pekerja.

Katanya, komitmen tersebut memastikan keselamatan pekerja dan memastikan undang-undang yang betul mengenai keselamatan di tempat kerja terpelihara.

“Ratifikasi ini adalah selari dengan pindaan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2024, yang mengutamakan kepentingan keselamatan dan kesihataan tempat kerja di Malaysia.

“Pindaan itu dibuat untuk membawa undang-undang domestik selaras dengan piawaian buruh yang ditetapkan oleh ILO.

“Ia menekankan tanggungjawab bersama kedua-duanya pekerja dan majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang standard serta pendekatan proaktif untuk melindungi kesejahteraan pekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Effendy berkata, ratifikasi tersebut juga akan membawa banyak manfaat seperti meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Ia juga dapat meningkatkan produktiviti apabila pekerja yang bekerja dalam persekitaran yang selamat dan sihat cenderung lebih produktif.

“Selain itu, kita boleh lihat perlaksanaan undang-undang yang Lebih konsisten dengan ratifikasi ini dimana undang-undang mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Malah, penglibatan pekerja dalam proses keselamatan di dalam Konvensyen C155 ini akan menekankan kepentingan penglibatan pekerja dalam perbincangan mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Ratifikasi ini juga dapat memberi kepercayaan dan kepuasan pekerja yang akan merasakan bahawa mereka dihargai dan dilindungi sentiasa,” tambahnya.

Mohd Effendy berkata, MTUC percaya dengan meratifikasi Konvensyen C155, Malaysia akan memperkukuh komitmennya terhadap hak-hak pekerja dan kesejahteraan mereka, selaras dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh ILO.

Terdahulu, dokumen ratifikasi konvensyen C155 itu diserahkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F Houngbo pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, langkah itu bakal menjadi pelengkap kepada pelaksanaan serta dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara, susulan pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekeridan 1994 (Akta 514) (Pindaan) 2022 (Akta A1648) berkuat kuasa 1 Jun lepas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast