Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah sekolah di Sabah ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta perpaipan berjumlah kira-kira RM40,000.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, menurut sumber, suspek wanita berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau.

Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan esok.

“Suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai pembantu tadbir (perkeranian/operasi) untuk mendapatkan suapan dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotocopy dan copyprinter yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja tersebut dilakukan oleh suspek sendiri.

“Pada tahun yang sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki kepentingan oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast