Foto: Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen)

KUALA LUMPUR – Anggota Tentera Darat menggagalkan cubaan penyeludupan daun ketum dengan penemuan daun ketum seberat 720 kilogram (kg) dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan Pos Pemerhati menemui kenderaan jenis Mitsubishi Pajero ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut pada jam 9 malam.

“Hasil siasatan mendapati 71 buah bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 720 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM RM 57,600 berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Tambahnya, kesemua bungkusan dan kenderaan tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM 77,600 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

Kayanya, pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara. – MalaysiaGazette