SANAA – Amerika Syarikat didakwa menggunakan dermaga terapung di perairan Gaza untuk tujuan ketenteraannya walaupun objektif asal pembinaan kemudahan tersebut adalah untuk memudahkan penghantar bantuan kemanusiaan.

Pemimpin pejuang Houthi, Abdul-Malik al-Houthi berkata, kini negara itu mengamalkan tindakan yang salah secara terang-terangan.

“Washington mendakwa membina dermaga terapung yang disasarkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah itu (Gaza).

“Bagaimanapun, ia digunakan untuk menceroboh Gaza dan menyokong rejim Zionis.

“AS mendefinasikan pencerobohan sebagai pembebasan dan pembunuhan serta genosid sebagai bantuan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, di sini.

Houthi berkata, peranan dermaga terapung yang menerima penghantaran bantuan di Gaza itu tidak efektif, malah ia tidak memenuhi keperluan ssas penduduk Palestin.

Beliau menambah, AS telah memindahkan dermaga terapung yang berlabuh di Gaza sebelum ini ke Pelabuhan Ashdod ketika isu kebuluran sedang memuncak.

“AS terus menyokong rejim Zionis secara terbuka, logistik bom dan ketenteraan diperoleh tentera penceroboh menerusi udara untuk membunuh rakyat Palestin.

“AS sedang siap siaga untuk mengerahkan 50 pesawat pejuang F-15 untuk menyokong rejim itu dalam melakukan genosid di Gaza,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast