Hannah Yeoh

KLANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal memperluaskan Program Senaman Warga Emas 2024 ke 120 lokasi seluruh negara bagi terus membudayakan amalan hidup aktif dalam kalangan warga emas.

Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, peluasan program rintis yang dimulakan sejak Mei lepas itu akan dilakukan menerusi dua fasa penganjuran melibatkan 50 lokasi pada fasa pertama dan 70 lokasi pada fasa kedua.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 21,000 warga emas menyertai program itu pada penganjuran tahun ini.

“Terdapat enam siri aktiviti kecergasan antaranya senamrobik, chair robic, berjalan kaki, tarian, taici dan yoga bagi setiap lokasi dan aktiviti dianjurkan secara percuma pada hujung minggu,” katanya pada pelancaran Program Senaman Warga Emas 2024 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Menurutnya, program itu merupakan inisiatif KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) susulan daripada dapatan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Berkaitan Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas yang diadakan pada 8 Feb lalu.

Di samping memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar, Hannah berkata program itu juga dapat meningkatkan kesedaran khususnya kepada ahli keluarga dan penjaga bagi mendorong warga emas untuk terus bersukan dan mengamalkan gaya hidup aktif.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program berkenaan boleh menghubungi JBSN menerusi talian 03-88713102 atau e mel [email protected].  – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast