Valiollah Mohammadi Nasrabadi

KUALA LUMPUR – Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi menyatakan keyakinannya bahawa hubungan dua hala antara Iran dan Malaysia akan terus berkembang maju berasaskan rasa hormat dan kerjasama bersama.

Iran sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya presiden ke-14 pada Jumaat depan (28 Jun) di dalam dan luar negara, termasuk di Kuala Lumpur berikutan kematian Presiden Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter pada 19 Mei. Iran dijangka meneruskan dasar luar dan hubungan dua hala yang sedia ada.

Valiollah menekankan kesinambungan sejarah dasar luar Iran serta interaksi yang berterusan dan semakin berkembang antara Iran dan Malaysia, termasuk lawatan pegawai tinggi semasa kepimpinan bekas Presiden Hassan Rouhani (2013-2021).

Beliau berkata pertukaran delegasi dan pertemuan antara Allahyarham Raisi dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh kerjasama berterusan.

“Saya yakin pentadbiran beserta Presiden baharu yang akan mengambil alih mungkin menambah beberapa minat atau idea, tetapi prinsipnya, secara amnya, (dasar luar negara) Iran masih kekal,” katanya, sambil memberitahu pilihan raya yang dijadualkan pada 2025 telah dipercepatkan untuk menangani kekosongan mengejut.

Mengenai isu sekatan Barat yang berlarutan terhadap Iran, Valiollah berkata: “Iran telah berada di bawah sekatan selama 45 tahun dan ini bukan perkara baharu. Saya ingin menegaskan bahawa semua sekatan ini adalah unilateral dan bukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB.”

Beliau berhujah bahawa kebanyakan sekatan itu tidak semestinya mencerminkan konsensus antarabangsa yang lebih luas.

Duta itu juga menekankan kepentingan kedaulatan negara dalam membentuk pakatan dan dasar yang bermanfaat.

Beliau memuji hubungan luar yang seimbang oleh Anwar, khususnya pendiriannya dalam mengekalkan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) dan China berdasarkan kepentingan negara.

“Setiap negara membuat keputusan mengikut kepentingan negara masing-masing. Di sinilah setiap negara kekal bebas dan memutuskan apa yang bermanfaat untuk negara mereka,” katanya.

Mengenai pilihan raya yang akan datang di Iran, Valiollah menyifatkannya sebagai proses demokrasi bermula dengan pendaftaran calon dari 30 Mei hingga 3 Jun diikuti dengan tempoh tapisan oleh Majlis Penjaga, yang meluluskan enam calon.

Menurut perlembagaan Iran, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 50 hari selepas kekosongan jawatan untuk memastikan presiden baharu dipilih dengan cepat, mengukuhkan proses demokrasi.

Dianggarkan 61 juta pengundi yang layak dijangka mengambil bahagian, dan keputusan pilihan raya dijangka diumumkan dalam tempoh 48 jam selepas tamat pilihan raya.

Dalam masa yang sama, naib presiden pertama Iran,  Mohammad Mokhber telah dilantik sebagai Pemangku Presiden berikutan kematian tragis Raisi.

Nahas helikopter itu turut meragut nyawa beberapa pegawai tinggi lain, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian, Gabenor wilayah Azerbaijan Timur Malik Rahmeti dan Imam Ayatollah Ali Hashim. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast