RAWANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 29 pekerja asing kerana tidak mempunyai dokumen yqng sah dan bekerja di kilang milik sebuah syarikat perkhidmatan logistik di Kundang, di sini, hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Asri Othman berkata, daripada jumlah itu seramai 21 warganegara Bangladesh manakala lapan lagi Nepal.
“Kita telah memeriksa seramai 128 pekerja di kilang ini dan hasilnya seramai 29 orang telah pun kita tahan yang melibatkan warganegara Bangladesh dan Nepal.
“Pemeriksaan awal mendapati mereka ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan juga telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Asri mengetuai Operasi Bersepadu JIM bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatiuasa (SIAP) melibatkan 85 pegawai kira-kira jam 11 pagi di Kuang, di sini.
Dalam pada itu, Asri berkata, kesemua pekerja asing terlibat akan dibawa ke ibu pejabat JIM di Putrajaya untuk proses dokumentasi.
“Kesemua pekerja asing yang berusia 21 hingga 50 tahun ini bekerja sebagai operator kilang terbabit.
“Mereka akan dibawa ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Selain itu, serbuan itu dilakukan hasil aduan orang ramai yang diterima pihaknya kira-kira tiga minggu lalu.
“Operasi ini dilakukan setelah JIM mendapat aduan daripada orang awam yang memaklumkan tempat ini terdapatnya ramai pekerja asing yang bekerja di kilang
“Risikan pula dilakukan hampir seminggu oleh bahagian penguatkuasaan JIM,” katanya.
Katanya, berdasarkan risikan awal didapati, selain warga asing terdapat juga warganegara tempatan yang bekerja di kilang ini.
“Mungkin pemerhatian pengadu seolah-olah semua yang bekerja di sini adalah warga asing.
“Semakan kita dalam sistem kilang ini kita dapati tidak ramai pekerja asing, ia tidak sepadan dengan sistem seperti mana yang dilaporkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette