Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tempat-tempat parkir swasta termasuk di pusat beli-belah dicadangkan mengguna pakai struktur caj yang sama seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengenakan caj parkir bagi tempoh setiap 15 minit berbanding kadar setiap jam.

Persatuan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia (myDigitalConsumer) berkata, perubahan ini akan memastikan pengguna hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sebenar parkir mereka, menggalakkan harga yang adil dan menggalakkan penggunaan kemudahan parkir.

Cadangan ini tidak melibatkan sebarang penurunan kadar parkir dikenakan pada masa ini.

Setiausaha Kehormatnya, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, cadangan ini susulan wujud dakwaan caj parkir tidak adil dan tidak menggalakkan pemandu menggunakan kemudahan parkir.

Lantaran itu, cadangan ini bertujuan mengurangkan parkir haram, mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk, dan memperbaiki kos sara hidup pengguna.

Ia selaras dengan prinsip-prinsip dianjurkan oleh MS ISO 22458:2022 dan MS ISO 21041:2018, yang menekankan reka bentuk dan penyampaian perkhidmatan inklusif serta penentuan harga unit, bertujuan untuk meningkatkan perlindungan pengguna dan memudahkan perbandingan harga di antara produk.

Jelasnya, caj parkir semasa sekali masuk dilihat sebagai tidak telus dan tidak menggalakkan amalan parkir yang sah, justeru merugikan pengguna dan menyumbang kepada masalah lalu lintas.

Selain itu, cadangan ini termasuk saranan untuk pengendalian parkir pusat membeli-belah menawarkan tempoh parkir percuma minimum awal.

Insentif ini akan menggalakkan pengunjung untuk menyelesaikan urusan pembelian mereka dengan segera dan mengosongkan tempat parkir, dan membolehkan pelanggan-pelanggan lain untuk mengunjungi menghasilkan aliran pelanggan yang meningkat.

Muhammad berkata, dengan menyelaraskan caj parkir dengan tempoh masa penggunaan dan menguatkuasakan undang-undang terhadap parkir haram, myDigitalConsumer percaya akan terdapat pengurangan yang ketara dalam kesesakan lalu lintas di jalan-jalan pusat perbandaran yang sibuk.

Peningkatan aliran lalu lintas lancar ini akan menghasilkan penjimatan bahan api, pengurangan pelepasan karbon, dan persekitaran bandar yang lebih layak huni.

Tambahnya, pelaksanaan mekanisme caj parkir yang dikaji semula ini bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga menurunkan kos sara hidup pengguna dengan mengenakan caj berdasarkan tempoh parkir sebenar.

Malah, keadaan lalu lintas yang lebih baik akan menjimatkan bahan api, mengurangkan pelepasan karbon di pusat-pusat perbandaran dan menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih mampan dan layak huni, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast