Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan penyeludupan petrol bersubsidi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Sindiket penyeludupan minyak bersubsidi kini beralih kepada petrol.

Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Sungai Rambai di sini hari ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, pemeriksaan pukul 5 pagi itu mendapati seorang lelaki sedang mengisi minyak di sebuah lori jenis Nissan.

Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah motor pam dan hos paip dalam keadaan bersambung yang disyaki membuat pemindahan minyak petrol dari pam terus ke dalam tangki IBC (bekas pukal perantaraan).

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit bagi penyimpanan barang kawalan tersebut.

KPDN Pulau Pinang merampas 700 liter petrol dalam serbuan tersebut.

“Susulan itu, kita menyita 700 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM1,435. Turut dirampas sebuah lori, enam unit tangki IBC, satu set motor pam dan paip dengan nilai anggaran barang rampasan keseluruhan berjumlah RM23,135,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Jegan, pihaknya telah merakamkan kenyataan pemandu tersebut dan kes di siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 112] bagi mengenalpasti individu/ syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini serta rantaian pengedaran bahan api petrol tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, pihaknya sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan di negeri ini bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

“KPDN Pulau Pinang akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang dibawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga.

“Masyarakat dan oengguna juga diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast