Tingkap bas yang dinaiki penyokong Perak FC dibaling batu dalam kejadian Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), pada Ahad lepas.

KAJANG – Berkelakuan nakal dan mahu mengusik penyokong pasukan lawan menjadi punca dua pelajar lelaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC dalam kejadian di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan insiden itu, kedua-dua pelajar terbabit ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Mereka kini masih dalam tahanan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Tiada motif spesifik tetapi lebih kepada perbuatan nakal mengusik penyokong lawan. Insiden itu tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD), di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media selepas menyaksikan Serah Terima Tugas di IPD Kajang. Foto SYADILA AMARI, 26 JUN 2024.

Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.

Dalam  pada itu, Hussein menyeru penyokong-penyokong bola sepak memeriahkan sukan dengan baik dan harmoni serta mengelakkan pertelingkahan atau pergaduhan.

“Sama-samalah menikmati sukan bola sepak dalam suasana harmoni,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki ditahan kerana disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di NKVE.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dipetik berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 8.49 malam.

Siasatan mendapati, kejadian berlaku terhadap bas membawa penyokong sebuah kelab bola sepak selepas selesai menyaksikan perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu kecoh di media sosial apabila terdapat dakwaan insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya NKVE, di sini.

Insiden terbabit berlaku selepas tamatnya perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Berdasarkan klip video yang tular di akaun X mendakwa bahawa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast