KAJANG – Polis yakin dapat mengenal pasti suspek kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta di sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini, pada 17 Jun lalu, dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Buat masa ini, masih belum ada tangkapan dilakukan, namun kita percaya boleh kenal pasti suspek terbabit kejadian itu dalam masa terdekat.
“Dua lagi kejadian samun kedai emas sebelum ini di Kajang dan Klang Selatan itu juga dari kumpulan yang berbeza,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD), di sini, hari ini.
Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, empat suspek yang memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap merompak kedai emas dalam sebuah pusat beli belah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, perompak-perompak berkenaan memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas itu.
Menurutnya, semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang ke dalam premis berkenaan. – MalaysiaGazette